Saturday, 8 June 2013

Melancholy

Sekarang pukul 6.03am. Baru lepas dari menunaikan solat subuh. Dari malam tadi tidak dapat melelapkan mata. Agaknya apalah yang tidak kena sehinggakan mata ini cukup sukar untuk tidur.

Perancangan untuk sabtu ini belum ditentukan lagi kerana ada beberapa rancangan yang perlu diperhalusi lagi. Dua tiga perkara yang perlu diambil kira dan dibincangkan dengan suami. Mungkinkah ini penyebab kenapa mata ini sukar untuk tidur? Mungkin.

Jika diikutkan, dari dahulu lagi saya memerlukan struktur perancangan dalam menjalankan urusan harian. Sesiapa yang mengenali saya tahu yang saya membuat kerja mengikut perancangan saya sendiri. Saya sentiasa merancang segala perkara dan seboleh-bolehnya akan mengikut perancangan tersebut.

Jadi, dimanakah keseronokkan dalam kehidupan saya? Adakah hidup saya tiada kejutan? Mungkin soalan itu bermain diminda ramai.

Sebenarnya, keseronokkan itu ada kerana saya telah belajar untuk menerima setiap perkara yang dirancangkan itu, ketentuan Allah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalannya. Saya belajar bahawa kejutan akan berlaku setiap hari dalam kehidupan dan kadang kala kita sendiri tidak menyedarinya. Saya belajar untuk mengubahsuai perancangan saya mengikut keadaan. Penambahan dan pengurangan ataupun pemansuhan perancangan adalah perkara biasa bagi saya.

Dalam erti kata yang mudah, saya belajar untuk lebih peka dengan kehidupan seharian saya. Dahulu saya seorang yang tidak mudah bertolak ansur dengan apa yang berlaku disekeliling saya.

Sehinggalah saya mendapat pengajaran bahawa walau bagaimana hebatnya kita merancang, kkjjjjKehidupan akan mencampakkan berbagai halangan dan dugaan untuk kita hadapi. Saya mendapat kesedaran ketika berumur 24 tahun. Dalam usia itu, saya diuji dengan ujian yang menduga keimanan dan kematangan saya.  Saya dikejutkan untuk keluar dari gelembung mementingkan diri sendiri dan menyedari tentang kehadiran orang lain di dalam dunia ini.

Ketika itu juga, saya belajar bahawa bagaimana sakitnya saya, ada lagi orang yang lebih sakit. Bagaimana menderitanya saya, ada lagi orang yang lebih menderita. Dan bagaimana susahnya saya, ada lagi orang yang lebih susah. Sakit, derita dan susah tidak mengenal jantina, bangsa atau negara.

Tiga tahun saya hidup di dalam ketidak tentuan tanpa ada sebarang jawapan yang konkrit. Selama tiga tahun saya terpaksa belajar bersabar (hakikatnya saya bukanlah seorang yang penyabar). Apabila mendapat keputusan yang sebenarnya, ia bukanlah seteruk yang saya sangkakan.

Dari pengalaman itu saya belajar bagaimana untuk bersabar, mengkaji mencari jawapan, bertolak ansur dan memaafkan kesilapan manusia. Saya belajar sikap terbaik dan terburuk yang boleh dilakukan oleh insan sesama insan waima kepada keluarga sendiri sekali pun. Saya juga belajar yang kita akan sentiasa belajar mengenai kehidupan selagi kita hidup di dunia ini.

Cukuplah setakat ini dahulu. Nampak gayanya, saya akan memulakan plan hari sabtu saya lebih awal daripada biasa. Tetapi ada juga kebaikannya. Tidaklah saya mengejar masa sangat.

To be or not to be...hmmmm

No comments:

Post a Comment