Tuesday, 22 April 2014

Catuan Air Untuk Kesejahteraan Rakyat??????

Saya berbual dengan emak saya tentang air paip yang dekat tapi jauh di Selangor. Al maklumlah kampung saya berdekatan dengan Empangan Semenyih.

Hendak dijadikan cerita, saya mengajak emak saya tinggal di rumah saya tetapi dia menolak kerana nenek saya kurang sihat.

Entah mengapa saya bertanyakan kepadanya kenapa walaupun hujan turun hari-hari di Selangor tetapi air di empangan masih lagi kurang.

Sedangkan di tempat lain air empangan sudah penuh.

Untuk makluman anda semua, emak saya bukanlah dari golongan pmebaca blog tegar.

Dia juga bukanlah seorang ahli ilmuan. Beliau sekadar seorang bekas guru sekolah agama kontrak yang dilantik selepas lulus peperiksaan khas.

Beliau tiada pernah menamatkan pelajaran di peringkat rendah pun. Sekadar menamatkan pelajaran di darjah lima tahun 1960. Kehidupan keluarga yang miskin tidak memungkinkan beliau meneruskan pelajaran.

Tetapi beliau sungguh rajin mencari ilmu yang tidak formal. Selalu membaca akhbar dan majalah.

Ketika persoalan diatas saya ajukan kepadanya, jawapan ibu saya cukup mudah.

Air dari langit Tuhan turunkan banyak di Selangor tetapi tidak mengalir ke sungai. Sebaliknya air terus diserap ke dalam bumi. Air bawah tanah menjadi banyak.

Apabila air bawah tanah menjadi banyak akan adalah kawasan rumah mendap atau retak. Akan adalah tanah runtuh. Semua sebab air dalam tanah sudah banyak.

Tetapi apa gunanya air bawah tanah banyak sedangkan empangan akan terus kering. Maknanya air tetap tidak cukuplah air untuk semua orang dapat setiap hari. 

Bumi tidak mahu keluarkan air untuk orang selangor.

Mana tempat air tidak boleh diserap tanah, akan banjirlah sekarang ini. Kita akan tengok tak lama lagi air banyak tapi semua air itu tidak boleh kita gunakan.

Semua ini sebagai peringatan. Jangan kita leka. Dulu kita senang. Semua ada di Selangor ini. Tapi kita tamak. Kita hendak segala-galanya.

Kita fitnah orang sana sini. Sekarang ini, kita kenalah tanggung. Bala bukan memilih orang. Sekali terkena, imam masjid yang alim pun akan kena sekali.

Dulu ambil air sembahyang siap boleh ambil pahala sunat tiga kali. Sekarang hendak jimatkan air kenalah ambil yang wajib sahaja. Dulu boleh kumpul pahala sunat. Sekarang, semuanya ala kadar sahaja. Pahala pun sudah kurang.

Saya sekadar diam. Apa lagi yang boleh saya katakan. Pandangan ibu saya itu ada benarnya. Saya tidak terkejut jikalau selepas ini, dengan hujan yang mencurah-curah, banjir akan berlaku.

Saya juga tidak terperanjat jika akan ada tanah runtuh akibat pengaliran sungai bawah tanah.

Itu semua adalah sains. Setiap perbuatan akan ada akibatnya. Jika ibu saya mendapat semua maklumat itu hanya melalui pembacaan majalah dan akhbar, bagaimana pula dengan kita yang mempunyai ekses maklumat tidak terhad seperti di internet.

Sepatutnya kita lebih pandai dari orang seperti ibu saya bukan?

Tetapi mengapa orang seperti ibu saya yang lebih mengetahui tentang sungai bawah tanah, tentang air bawah tanah, tentang saliran yang tidak diselenggarakan dengan betul akan mengakibatkan banjir dan berbagai maklumat lagi?

Atau mungkinkah orang yang tinggal di bandar sebenarnya tidaklah sebijak orang yang tinggal di kampung. Persoalan ini saya ajukan kepada ibu saya. Jawapannya ialah :

Orang bandar sibuk. Mereka tiada masa kerana dialihkan perhatian mereka dengan pelbagai hiburan. Lihat sahaja cucu den, dengan laptop, HP, tablet dan iphone. Itu belum dikira dengan Astro, HipTV, panggung wayang, pusat bowling dan pusat hiburan.

Mana ada masa bila hari terpaksa dipenuhkan dengan semua perkara itu? Tak ikut nanti ketinggalan zaman. Bila ikut semua itu, bukankah kos sara hidup meningkat? Dari gaji cukup menjadi tidak cukuplah. SEmua hiburan itu perlu di bayar.

Mungkinkah emak saya betul? Setiap perbuatan akan ada akibatnya. DAn akibat inilah yang sedang dituai oleh rakyat Selangor.

Atau mungkin nenek saya betul. Katanya : Setiap Sultan ada daulatnya. Tinggal di negeri beraja, Sultan perlu dihormati. Orang sekarang ini ramai yang menderhaka. Kerana derhaka, inilah jadinya.

Hmmmm.... terfikir kata-kata nenek saya itu mungkin ada betulnya apabila memikirkan mendiang KS yang kemalangan di Perak. Anda tahu bukan sejarah mendiang KS dengan Sultan Perak.

Adakah ini kebetulan atau tidak? Wallahualam.... fikir-fikirkanlah.

No comments:

Post a Comment