Friday, 4 April 2014

Memaksa Atau Mendidik

Artikel hari ini merupakan padangan peribadi yang saya rasa perlu diluahkan dan anda sebagai seorang Islam fikirkan. Kerana itu saya tuliskan artikel ini dalam Bahasa Malaysia.

Saya seorang wanita dan terus terang saya katakan bahawa pendidikan agama saya tidaklah setinggi sehingga ke menara gading.

Mungkin padangan saya ini boleh dipertikaian tetapi pandangan ini saya perolehi dari pemerhatian dan pergaulan yang saya alami semenjak kecil sehinggalah sekarang.

Mungkin ada yang berpendapat pandangan saya ini adalah pandangan liberal tetapi harus anda semua sebagai seorang Islam berfikiran matang dan cuba fahami apa yang ingin saya sampaikan.

Saya percaya pendidikan adalah cara untuk umat Islam memahami Islam dengan lebih mendalam lagi. Saya menghormati Ulama dan mengambil kira pandangan mereka tetapi tidak akan percayakan pendapat seseorang yang dikatakan Ulama jika terdapat percanggahan dari perlbagai sudut.

Saya hanya percayakan ulama itu jika mereka dapat memberikan pandangan bersertakah Qur'an, Hadith, Sunnah dan terdapat bukti sainstifik yang diterima Islam.

Saya juga akan memikirkan setiap pendapat itu dan mengambil kira latar belakang ulama untuk memastikan bahawa pendapat itu bebas dari sudut pengaruh luaran yang memungkinkan beliau memberi hujah atau pendapat yang salah.

Saya juga akan menolak pendapat yang bertentangan dengan asas agama Islam, Halal dan Haram yang telah ditetapkan sejak dahulu.

Bukan menolak pandangan baru tetapi perkara yang telah ditetapkan dari dahulu tentang haram dan halal terutama makanan dan pakaian dan perhiasan mengapa perlu dipertikaian lagi.

Pandangan saya ini melibatkan tentang cara pendidikan kita semua kepada anak-anak kita tentang asas agama dan bagaimana untuk memastikan jiwa mereka sememangnya benar-benar Islam dan bukannya Islam hipokrit.

Islam hipokrit yang saya maksudkan ialah merasakan mereka itu islam lebih dari orang lain walhal sebenarnya mereka Islam kerana ikutan.

Saya melihat ini dari asas dan saya merasakan bahawa pendidikan Islam di Malaysia ini terdaapt banyak kelemahannya.

Salah satu dari kelemahan pendidikan itu ialah kita banyak mengamalkan paksaan dari mendidik.

Sehaya kecil lagi kita terlalu memaksa anak-anak kita mengikut tanpa memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pandangan mereka.

Bagi saya pendidikan paksaan inilah punca segala permasaalahan moral sekarang. Permasalahan moral yang kita rasakan bukan tanggung jawab kita tetapi kita jugalah punca kepada permasalahan itu.

Contohnya dalam pemakaian. Kita terlalu mengongkong sehinggakan pada satu takat kita menjadi diktator.

Kita begitu takut melakukan dosa dan menanggung dosa anak-anak sehinggakan kita tidak langsung memberikan kebebasan untuk mereka berfikir kenapa dan mengapa.

Kita juga gagal menerangkan kenapa dan mengapa kerana kita sendiri mengamalkan Islam sebagai ikutan sahaja. Kita tahu asas tetapi tidak tahu tujuan dan hala tuju kita sebagai seorang Islam.

Akibatnya kita gagal menyedarkan anak-anak kita sendiri tetnang keperluan sesuatu dan kebebasan melakukan sesuatu itu.

Contoh yang ketara ialah meningkatnya anak-anak bertudung dalam masalah moral. Dimanakah silapnya sehingga remaja yang bertudung itu boleh terjebak dalam gejala seperti ini sedangkan pada hakikatnya jika dilihat dari pakaian mereka sepatutnya leih mengetahui.

Mereka ini sepatutnya lebih terkawal dan terpelajar dari sudut pengetahuan Islamnya berbanding dengan yang tidak bertudung. namun agak memalukan apabila dari pemerhatian saya, mereka-mereka inilah yang lebih ramai melakukan perkara yang tidak senonoh berbanding dengan yang tidak bertudung.

Bukan saya menyokong mereka yang tidak menutup aurat tetapi kenapa perasaan malu mereka yang tidak bertudung kadang kala lebih tinggi dari yang bertudung? Lihat keliling anda apabila anda ke pasaraya atau tempat tumpuan ramai.

Perhatikan dan lihat anak-anak kita yang bertudung ini. Apa yang mereka lakukan. Anda akan sedari apa yang saya sedari.

Dimanakah silapnya dalam hal ini? Kerajaan? Masayrakat? Atau kita sedniri?

Ini pendapat saya. Kesilapan kita adalah kerana kita sendiri yang gagal keseluruhannya mendidik anak-anak kita ini. Kita gagal dalam mengenali dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Kita tidak mengambil kira perubahan dan permasalah moden sehingga pada satu takat kita ketinggalan dalam mengurus dan mendidik anak-anak kita.

Perkara asas seperti aurat pun kita masih bertelagah. Kita menghukum terlalu cepat seangkan kita lupa berapa lama Nabi dan Rasul kita Muhamad S.A.W mengambil masa untuk mendidik bangsanya sendiri supaya menjadi umat yang kuat dizamannya.

Kita ingin segalanya cepat sehingga lupa kepada akibat dimasa hadapan.

Mungkin ada diantara anda yang akan berkata, jika tidak dipaksa lebih banyaklah dosa yang akan kita tanggung. Dosa melihat aurat orang lain dan menanggung dosa anak-anak yang tidak menutup aurat.

Lupa kita bahawa adap menegur dan bagaimana sesuatu dosa itu akan terletak pada bahu kita. Lupa bahawa akan jatuh tanggungan dosa itu jika kita menegur walaupun didalam hati. Bertambah pahala jika kita mendoakan mereka yang tidak menutup aurat itu agar mendapat hidayah.

Untuk anak muda, paksaan membuatkan mereka memberontak. Mungkin sewaktu kecil mereka akan menurut kerana takut tetapi dengan pelbagai godaan yang ada sekarang, apakah yang dapat menghalang mereka dari dipengaruhi?

Saya melihat bahawa tudung kini dipakai oleh kebanyakkan remaja bukanlah kerana mereka sedar akan keperluan menutup aurat tetapi lebih kepada ikutan kerana ramai kawan-kawan yang memakai tudung.

Dalam waktu yang sama, ada anak-anak yang memakai tudung hanya dihadapan ibu bapa sahaja tetapi sebaik kaki melangkah keluar, tudungnya entah ke mana.

Ada juga yang memakai tudung kerana model-model memakai tudung nampak cantik dan mereka akan menurut sahaja cara pemakaian tersebut tanpa sedari kenapa mereka perlu melakukannya.

Cuba tanya soalan asas ini kepada mereka. Kenapa anda memakai tudung dan anda akan terperanjat dengan jawapan mereka.

Mereka pakai bukan kerana Allah taala tetapi kerana
1. Menutup aurat
2. Nampak sopan
3. Jawapan yang pelbagai diberikan

Dimanakah kerana Allah Taala dalam senarai itu. Tersembunyi didalam menutup aurat kah? Sedangkan sepatutnya jawapan muda mudi ini ialah kerana Allah Taala.

Itulah hasil yang kita perolehi apabila mengambil pendekatan paksaan. Semuanya dilakukan kerana manusia bukan kerana Allah.

Kerana itu saya selalu tekankan bahawa mendidik adalah perlu dalam segala bidang. Saya percaya mendidik lebih baik dari memaksa.

Ini saya lihat berdasarkan pengalaman saya. Saya pernah duduk menyewa dan saya pernah menyewa dengan seorang gadis yang begitu seksi pemakaiannya tetapi setiap kali pulang kekampung beliau akan memakai baju kurung dan tudung.

Saya pernah menyewa dengan seorang yang tidak bertudung tetapi begitu giat mencari ilmu Islam sehingga akhirnya memakai tudung kerana bersedia untuk melakukannya dan sehingga kini masih memakainya.

Jika anda bertanya kepadanya, jawapan beliau ialah kerana Allah dan dia masih giat belajar tentang Islam walaupun taraf pendidikannya hanya pada diploma kesetiausahaan.

Saya pernah melihat anak gadis yang begitu bersopan dikejiranan di Senawang tetapi satu hari saya terserempak dengannya berpegangan tangan dan berpelukkan dengan teman lelaki di Bukit Bintang.

Saya pernah melihat remaja lelaki yang kelihatan begitu baik dan rajin ke masjid tetapi ternampak dia menghisap rokok dan minum di satu sudut parking kereta disebuah pasaraya di bulan puasa.

Dimanakah silapnya dengan perkara diatas?

Dimanakah silapnya sehingga gadis yang begitu bersopan santun, berpendidikan agama dan datang dari keluarga yang beragama boleh berpelukkan dengan teman lelaki di Bukit Bintang?

Dimanakah betulnya pendidikan seseorang yang mempunyai kelulusan yang tiada kaitan dengan Islam tetapi begitu rajin mencari ilmu agama sehingga boleh mendapat hidayah melakukan tuntutan tanpa di paksa?

Dimanakah silapnya sehingga pengunjung masjid boleh melupakan puasa di bulan Ramadhan sedangkan itu adalah tuntutan? Tidakkah ceramah yang didengari di masjid itu memungkinkan dia terpelihara dari godaan nafsunya?

Bagi saya jika ingin meminta pemuda pemudi sekaang memahami islam sepnuhnya, kita yang diataslah patut memahaminya dahulu. Bukannya mengikut dan kemudian memaksa mereka menelan bulat-bulat apa yang kita telah pelajari.

Kita wajar mendidik mereka tentang apa itu Islam yang sebenarnya. Kita sebagai orang dewasa parlu menerangkan sesuatu sebab dan musabab dan kembalikan mereka ini kepada perkara asas Islam.

Asas Islam ialah KERANA ALLAH TAALA.

Setiap perbuatan itu mencari keredhaannya bukannya kerana manusia yang memaksa. Akhirnya nanti paksaan akan menimbulkan rasa benci, marah dan terkongkong.

Dari itu, saya rasa sudah tiba masanya kita mkembali kepada cara Rasullullah mendidik. Baginda tidak menghukum tetapi baginda menerangkan dan mendidik.

Baginda tidak memaksa tetapi memujuk. Baginda tidak cepat marah tetapi bersabar dan sanggup menerangkan, mendidik dan memujuk berulang kali.

Baginda tahu, hati manusia apabila dipujuk dan didik dan diterangkan berulang kali apabila ada permasalahan akan menjadi lembut. Ketika itulah iman bertambah dan kekuatan dan jati diri akan datang.

Ketika itu setiap godaan yang datang akan dapat ditepis dengan keimanan dan ilmu didada.

Oleh itu marilah kita mula mendidik. Jangan memaksa. Hentikan menjadi diktator tetapi mulalah menjadi pendidik. Mulakan dengan anak-anak.

Jika tidak tahu, ajak mereka bersama mencari ilmu dengan kita. Jika mereka enggan, jangan marah tetapi pujuklah. Biarlah mereka menghayati Islam kerana kesedaran bukannya kerana ikutan.

Tanamkan dalam hati anak-anak bahawa untungnya mereka yang lahir dalam Islam kerana mereka tiada kekangan untuk mempelajarinya. Kerana tiada kekangan itu mereka bebas untuk mempelajari dan mencari Ilmu Islam itu.

Galakkan mereka mencari dan memperluaskan Ilmu agama. Ajar mereka untuk berguru dengan seramai guru agama yang boleh. Tidak ada guru agama yang tahu keseluruhan agama.

 Ajar mereka malu dengan Allah bukannya dengan manusia. Ajar mereka memberi nilai kehidupan di dunia sama penting dengan nilai akhirat. Terangkan pada mereka perbuatan didunia inilah yang menentukan keadaan mereka di akhirat .

Terangkan keindahan syurga dan bukannya ngerinya neraka. Ajarkan mereka mudahnya mendapat pahala dari menerangkan bagaimana mereka boleh mendapat dosa.

Saya pernah berkata kepada anak saya, di akhirat nanti anda akan dinilai apa yang telah anda lakukan di dunia. Perkara yang pertama dinilai ialah adakah anda telah melunaskan tanggung jawab anda kepada Allah.

Solat, puasa, zakat yang perlu anda lakukan sendiri itulah yang dinilai dahulu. Selepas itu tanggungan anda. Dan seterusnya ahli keluarga, Jiran tetangga, masyarakat, negeri, negara dan dunia.

Umpama lengkungan bulatan yang bermula dari satu titik. Anda adalah titik itu. Semakin dekat lingkungan bulatan dari titik semakin besar tanggung jawabnya.

Namun titik juga penting kerana bulatan tidak akan terbentuk tanpa titik pertengahan. Semakin kuat asas titik semakin cantik bulatan yang diperolehi.

Semua ini perlu kita fikirkan dan renungkan.




No comments:

Post a Comment